IPOH: Kebanyakan golongan muda memilih untuk
melanjutkan pengajian dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional
(TVET) bukan sahaja disebabkan minat semata-mata, tetapi mereka juga
melihat prospek pekerjaan yang begitu cerah menerusi bidang berkenaan
ketika ini.

Seorang penuntut, Nurin Asyiqin Muhd Salmi, 19, dari
Taiping berkata dia meminati TVET kerana bidang tersebut dilengkapi
dengan segala kemahiran yang sesuai dan seiring dengan perkembangan
Revolusi Industri 4.0.

“Jangan pandang rendah pada kami yang memilih TVET kerana walaupun ada
di antara kami yang tidak cemerlang dalam bidang akademik, tetapi bidang
ini mempunyai banyak peluang kerana skop pekerjaan dalam bidang
teknikal dan vokasional adalah sangat luas,” katanya.

Beliau
berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas pelancaran program
Kemahiran Malaysia 2.0 (SkillsMalaysia 2.0) yang disempurnakan Sultan
Perak Sultan Nazrin Shah di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh,
pada Selasa.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran.

Nurin Asyiqin berkata dia sememangnya meminati bidang kemahiran sejak
di bangku sekolah dan minat itu mendorongnya memilih untuk menyambung
pengajian di peringkat Sijil Teknologi Seramik di ILP di sini.

Bagi K. Thennarasu, 21, berkata dia memilih TVET kerana yakin bidang itu
mempunyai peluang lebih cerah dalam pelbagai bidang pekerjaan apabila
tamat pengajian kelak.

Thennarasu yang kini berada dalam
semester kedua pengajian Program Sijil Teknologi Elektrik di ILP Ipoh
berkata dia mengetahui mengenai bidang itu menerusi laman carian
terbesar internet, Google.

“Saya sememangnya meminati bidang
TVET sejak di bangku sekolah lagi kerana semasa di sekolah, saya sering
terlibat dengan pelbagai projek dan pembelajaran berasaskan kemahiran
dan dari situ timbul minat untuk meneruskan pengajian dalam bidang
TVET,” katanya.

Pelancaran SkillsMalaysia 2.0 merupakan satu
identiti penjenamaan baharu bagi TVET di bawah kendalian Kementerian
Sumber Manusia sebagai platform untuk meningkatkan kerjasama dengan
semua kementerian dan agensi dalam memperkasa bidang kemahiran negara.

— BERNAMA

2 replies

Leave a Reply

Want to join the discussion?
Feel free to contribute!

Leave a Reply